KOTA BHARU | Pembahagian kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah mencapai 85 peratus.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, perbincangan pembahagian kerusi antara BERSATU dengan PAS berjalan dengan baik.
Katanya, calon juga sudah dikenal pasti dan pembahagian kerusi ini akan selesai dalam tempoh terdekat.
“Pembahagian kerusi, saya berasa sekarang sudah hampir selesai iaitu dalam 85 peratus.
“Perbincangan pembahagian kerusi ini juga berjalan dengan baik…kita harus faham ketetapan untuk hari penamaan calon akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Dari sudut gerak kerja Perikatan Nasional (PN), iaitu BERSATU dan PAS, Alhamdulillah berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Kota Bharu Tahun 2022 di Dewan Perniagaan Cina di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Farid yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu berkata, pemimpin dan ahli BERSATU sudah memulakan gerak kerja di kawasan masing-masing.
“Pemimpin dan ahli BERSATU sudah mula bergerak di kawasan mereka untuk menghadapi PRU15,” katanya.