KOTA BHARU | Dua lelaki ditahan selepas didapati menunggang motosikal secara merbahaya dengan membuat aksi ‘wheelie’, masing-masing di Jalan Wakaf Che Yeh dan Kampung Merkang, dekat Pasir Puteh, kelmarin.
Mereka masing-masing berusia 15 dan 21 tahun ditahan menerusi Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan IPD Pasir Puteh.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mereka ditahan pada jam 2 pagi di Jalan Wakaf Che Yeh dan 6.15 petang di Kampung Merkang, Pasir Puteh.
Katanya, ketika operasi, anggota bertugas mendapati sekumpulan motosikal yang datang dari arah lampu isyarat Batu Empat dan membuat pusingan U menghala ke lampu isyarat Wakaf Che Yeh sebanyak lima kali sambil bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi ‘wheelie’.
“Polis berjaya menahan seorang penunggang daripada kumpulan itu dan dibawa ke IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Dalam operasi yang sama di Pasir Puteh, pihak polis terlebih dahulu melihat sekumpulan motosikal yang datang dari arah simpang Tiga Merkang menghala ke arah Jalan Kampung Merkang sedang melakukan aksi ‘wheelie’.
“Kita terus mengekori motosikal berkenaan dalam jarak dekat dan berjaya menahan seorang lelaki sebelum dibawa ke IPD Pasir Puteh untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan aksi mengangkat tayar hadapan, di mana aksi itu amat merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Muhamad Zaki berkata, dalam operasi itu, sebanyak 19 saman dikeluarkan dan pihak polis merampas dua motosikal jenis Honda EX5.