KUALA PERLIS | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Perlis (ZMKP) berjaya merampas 10 kilogram ketulan ganja mampat dan syabu seberat dua kilogram di perairan Perlis, kelmarin.
Rampasan itu dianggarkan bernilai RM156,000 yang ditemui di atas sebuah bot kayu enjin bergalah yang ditahan pada jarak lebih kurang 0.18 batu nautika dari barat Pulau Ketam, Perlis pada sekitar jam 4.30 pagi.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, ia hasil risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP), Unit Risik Zon Maritim Kuala Kedah (ZMKH), Bahagian Perisikan Ibu Pejabat (MIND) dan Unit Detektif Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM) ke atas aktiviti penyeludupan di perairan negeri ini beberapa minggu lalu.
Terdahulu, katanya, bot terbabit telah menukar haluan ke arah paya bakau sebaik melihat kehadiran bot ronda Maritim Malaysia namun berjaya dipintas dan ditahan.
“Bagaimanapun, seorang suspek nekad terjun ke laut meninggalkan bot dengan berenang ke kawasan paya bakau untuk melepaskan diri daripada ditahan.
“Hasil penggeledahan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan satu tong minyak berwarna biru yang mengandungi 10 ketulan daun kering mampat disyaki ganja dan dua ketul bungkusan plastik kuning mengandungi hablur kristal yang disyaki syabu berada dalam bot kayu berkenaan.
“Rampasan itu dipercayai jumlah dadah berkenaan adalah bagi kegunaan lebih 10,000 penagih,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, semua hasil rampasan dibawa ke ZMKP serta diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis mendapati sindiket pengedaran ganja dan dadah telah menukar modus operasi penyeludupan menerusi jalan laut dengan menggunakan bot kayu enjin bergalah untuk dibawa ke dalam negara.