PARIS | Puluhan ribu penunjuk perasaan termasuk pemenang sastera Nobel Perancis yang baru dinobatkan, Annie Ernaux menyertai demonstrasi jalanan di Paris bagi menunjukkan kemarahan dan protes besar-besaran terhadap kenaikan harga, kos sara hidup dalam usaha memberikan tekanan ke atas kerajaan Presiden Emmanuel Macron.
Saluran berita Perancis BFMTV memetik penganjur sebagai berkata bahawa kira-kira 140,000 orang berarak di beberapa jalan raya sekitar di ibu kota Perancis itu pada Ahad (16 Okt) waktu tempatan, lapor South China Morning Post.
“Kira-kira 30,000 orang telah terlibat dalam protes tunjuk perasaan manakala kiraan yang ditugaskan oleh kolektif media Perancis, bilangan penunjuk perasaan mencecah 29,500 orang,” ujar satu kenyataan polis tempatan.
National Public Radio pula melaporkan ketika demonstrasi berlaku, terdapat beberapa vandalisme dilakukan seperti tong sampah dibakar dan mesin bank dipecahkan.
Dalam pada itu, Ernaux mengisytiharkan bantahan itu sebagai ‘suatu kejayaan besar’ sementara pihak penganjur melabelkannya sebagai ‘perarakan menentang kos sara hidup yang tinggi dan ketidakupayaan iklim’.
Di samping menyeru pelaburan besar-besaran terhadap krisis iklim, tambah laporan itu, penunjuk perasaan juga menuntut langkah kecemasan terhadap harga tinggi, termasuk pembekuan kos tenaga, barangan keperluan dan sewa, dan untuk cukai yang lebih besar bagi keuntungan durian runtuh.
Ahli parlimen dari parti sayap kiri France Insoumise (atau France Unbowed), Christophe Bex dalam pada itu melabelkan perarakan berkenaan sebagai ‘demonstrasi kekuatan untuk menunjukkan kepada seluruh dunia, segala kemungkinan boleh berlaku jika kita semua bersama dan semua bersatu’.
“Apa yang kami mahu ialah semua orang hidup secara aman dengan kuasa beli yang mereka ada sebelum ini,” kata Eric Doire, seorang pesara pekerja kereta api yang terlibat adalam perarakan itu.
Beberapa penunjuk perasaan dilihat memakai jaket pendarfluor kuning, simbol protes antikerajaan yang pernah digunakan dalam keganasan pada 2018 sehingga menggegarkan kerajaan Macron, lapor The News International pula.
Penentang Macron berharap untuk membina momentum yang dicipta oleh kebuntuan penapisan yang bermula pada akhir September lepas.
“Kami akan mengadakan tunjuk perasaan ini selama seminggu. Ia dimulakan dengan perarakan ini (pada Ahad) yang merupakan kejayaan besar,” kata ketua parti pembangkang berhaluan kiri Perancis, La France Insoumise, Jean-Luc Melenchon. SUMBER: AGENSI