COX’S BAZAR, Bangladesh | “Apabila tentera Myanmar menyerang rumah saya, saya kehilangan empat ahli keluarga terdekat – ayah, abang, kakak dan salah seorang anak saudara saya. Semua yang saya miliki telah dibakar – saya telah kehilangan segala-galanya,” kata Nurul Amin, 35, seorang lelaki Rohingya yang tiba bersama keluarganya sebagai pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh pada tahun 2017.
Cox’s Bazar yang terletak di daerah Chittagong ini terkenal sebagai bandar pelancongan, industri serta pentadbiran di selatan Bangladesh.
Namun, di satu sudut bandar ini – di Ukhia, ia telah dijadikan penempatan pelarian Kem Pelarian Kutupalong, yang kini merupakan kem terbesar di dunia.
Kem pelarian itu kebanyakannya didiami oleh pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan etnik dan agama di negara jiran Myanmar, dan ia merupakan satu daripada dua kem pelarian yang dikendalikan kerajaan Bangladesh di Cox’s Bazaar, yang mana satu lagi ialah Kem Pelarian Nayapara.
Pejabat Kem Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kutupalong itu disokong oleh tujuh entiti antarabangsa – Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Finland, Sweden dan Yayasan IKEA.
Menyelak lipatan sejarah hitam kaum Rohingya, pada Ogos 2017, keganasan melampau terhadap etnik minoriti Islam yang meletus di negeri Rakhine, Myanmar itu memaksa ratusan ribu kaum etnik Rohingya meninggalkan kediaman mereka.
Menurut UNCHR, hanya dalam tempoh satu tahun telah berlalu, menjelang 2018, kira-kira 725,000 pelarian dari Myanmar itu telah mencari perlindungan di Bangladesh.
Seperti Nurul Amin, majoriti pelarian di Cox’s Bazar tergolong dalam Rohingya yang merupakan kumpulan minoriti Islam di Myanmar.
Dalam temu bualnya dengan nrc.no pada 2018 itu, Amin mengakui dirinya berasa lebih selamat sekarang di Cox’s Bazar, tetapi peralihan daripada kehidupan yang selesa di negara sendiri dan kini menjalani kehidupan di kem pelarian yang penuh sesak itu adalah sukar.
Itu cerita tahun 2018, namun apakah nasib Amin dan keluarganya sekarang ini, kerana sehingga kini secara keseluruhan, kira-kira 900,000 pelarian dari Myanmar berlindung di situ, yang mana lebih separuh daripada pelarian Rohingya di kem tersebut adalah golongan kanak-kanak.
Krisis kemanusiaan pelarian Rohingya semakin bertambah buruk pada permulaan musim tengkujuh pada bulan Jun tahun ini, dengan hujan lebat, angin kencang, banjir dan tanah runtuh merosakkan tempat perlindungan pelarian.
14 kes pembunuhan dalam tiga bulan
Namun, keadaan di kem pelarian itu kini diparahkan lagi dengan kes jenayah pembunuhan kejam yang kini mencecah angka 14 kes sejak tiga bulan lalu.
Kumpulan penjenayah sudah lama bersarang di kem itu untuk mengawal perdagangan dadah, tertumpu kepada pil syabu (yaba), tetapi Ketua Polis Daerah Cox’s Bazar, Mahfuzul Islam dalam kenyataan kepada AFP berkata, berlaku peningkatan kes yang ketara.
“Sekurang-kurangnya 14 etnik Rohingya dibunuh di kem ini, dalam tempoh tiga bulan lalu. Jumlah pembunuhan di kem terbabit meningkat berbanding tahun lalu,” katanya.
Terbaharu, The New Arab melaporkan pada 10 Okt lalu, dua pemimpin Rohingya ditetak hingga mati di situ, yang mana menurut kenyataan jurucakap polis, Faruk Ahmed, kedua-dua mangsa dibunuh oleh sedozen lelaki di Kem 13, dalam serangan serangan yang paling tragis dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Menurut Ahmed, lebih sedozen penjenayah Rohingya menetak mati Maulvi Mohammad Yunus, 38, yang merupakan ketua kem (atau majhi) di Kem 13, yang kemudian membunuh Mohammad Anwar, 38, seorang lagi majhi.
“Mangsa pertama meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa kedua meninggal dunia di hospital,” kata Ahmed menurut laporan yang dipetik oleh Al Jazeera.
Dalam pada itu, AFP turut melaporkan bahawa pegawai kanan unit polis elit yang ditugaskan bagi keselamatan di kem itu menamakan kumpulan pemberontak memerangi tentera di Myanmar dikenali sebagai Arakan Rohingya Salvation Army merupakan dalang di sebalik dua pembunuhan itu.
“Ini adalah pembunuhan disasarkan ARSA, pertempuran dalaman di Myanmar yang memberi kesan kepada keadaan keselamatan di kem ini,” ujar kenyataan itu.
Awal tahun ini, empat anggota ARSA didakwa membunuh pemimpin tertinggi Rohingya, Mohib Ullah – seorang tokoh terkenal yang telah diterima di Rumah Putih oleh Presiden Donald Trump sebelum ini.
Pembunuhannya membawa kepada tindakan keras besar oleh pihak berkuasa Bangladesh, yang menahan sekurang-kurangnya 8,000 anggota ARSA. SUMBER: AGENSI