Penyerang Real Madrid dari Perancis, Karim Benzema memenangi Anugerah Ballon d’Or 2022 sebagai pemain lelaki terbaik dunia, manakala pemain tengah Sepanyol dari Barcelona, Alexia Putellas memenangi anugerah wanita buat kali kedua.
Benzema yang memainkan peranan penting dalam usaha Real merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara musim lalu adalah pemain Perancis pertama memenangi trofi itu sejak Zinedine Zidane pada 1998 dan yang kelima selepas Raymond Kopa, Michel Platini dan Jean-Pierre Papin.
“Hadiah ini membuatkan saya sangat bangga. Ketika kecil, trofi ini adalah impian zaman kanak-kanak. Saya tidak pernah berputus asa…segala-galanya boleh menjadi kenyataan,” kata Benzema di atas pentas pada majlis itu.
“Terdapat tempoh yang sukar apabila saya tidak berada dalam pasukan Perancis, tetapi saya tidak pernah putus asa. Saya sangat bangga terhadap perjalanan saya di sini. Ia tidak mudah dan juga masa yang sukar untuk keluarga saya.”
Benzema mengatasi pemain Poland, Robert Lewandowski; Sadio Mane dari Senegal dan pemain Belgium, Kevin De Bruyne selepas pemain Argentina Lionel Messi memenangi anugerah itu untuk kali ketujuh, tahun lalu.
Benzema mengharungi musim cemerlang bersama Real, menjaringkan 44 gol dalam 46 perlawanan bagi semua pertandingan ketika membantu kelab meraih kejuaraan berganda LaLiga dan Liga Juara-Juara. 15 golnya dalam Liga Juara-Juara membantu Real meraih gelaran ke-14.
Real membuat kebangkitan luar biasa dalam pusingan 16 terakhir, suku akhir dan separuh akhir, menentang Paris St Germain, Chelsea dan Manchester City dengan Benzema menjaringkan gol pada setiap perlawanan pusingan kedua.
Kemuncak kempen Eropah Real ialah kemenangan 3-1 pada perlawanan pusingan kedua menentang PSG apabila kelab Sepanyol itu ketinggalan 2-0 secara agregat. Benzema meraih hatrik selama 17 minit pada separuh masa kedua untuk mengejutkan pasukan Ligue 1 itu.
Pemain antarabangsa Sepanyol, Putellas memenangi Ballon d’Or wanita untuk tahun kedua berturut-turut, menewaskan pemenang Kejohanan Eropah dari England, Beth Mead dan Sam Kerr dari Australia.
Putella yang turut dinobatkan sebagai Pemain Wanita Terbaik FIFA awal tahun ini, adalah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara musim lalu dengan 11 gol dan 18 gol di Bahagian Primera. Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu terlepas Kejohanan Euro selepas mengalami kecederaan ligamen pada malam sebelum kejohanan di England.
Thibaut Courtois dari Real memenangi Anugerah Lev Yashin untuk penjaga gol terbaik musim lalu, dengan penjaga gawang itu melakukan sembilan aksi menyelamat pada perlawanan akhir untuk mengekalkan rekod bersih menentang Liverpool dalam kemenangan 1-0 di Paris.
Anugerah Kelab Terbaik pula menjadi milik Manchester City kendalian Pep Guardiola yang memenangi kejuaraan Liga Perdana keempat dalam tempoh lima tahun.
Pemain tengah Barca berusia 18 tahun, Gavi merangkul Trofi Kopa untuk Anugerah Pemain Bawah 21 Tahun Terbaik, manakala penyerang Bayern Munich, Sadio Mane memenangi Anugerah Socrates apabila pemain antarabangsa Senegal itu diiktiraf atas usaha kemanusiaannya.
Lewandowski tidak pulang dengan tangan kosong apabila merangkul Trofi Gerd Muller untuk penyerang terbaik selepas menjaringkan 50 gol dalam semua pertandingan untuk Bayern Munich, musim lalu. SUMBER: AGENSI