Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, bersetuju untuk menilai semula langkah keselamatan di stadium seluruh negara itu selepas lebih 130 orang terbunuh dalam tragedi di Stadium Kanjuruhan, Malang.
Ketua badan induk bola sepak dunia itu berada di Jakarta untuk bertemu Presiden Widodo selepas Indonesia dan FIFA bersetuju membentuk pasukan petugas bersama susulan tragedi itu ketika Indonesia bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 tahun pada 2023.
Infantino berkata, keutamaan pertama ialah untuk melakukan pembaharuan dan transformasi terhadap bola sepak Indonesia dengan peminat bola sepak perlu dilindungi dari segi keselamatan.
Berikutan kejadian rempuhan di Stadium Kanjuruhan pada 1 Oktober lalu, polis dipersalahkan kerana melepaskan gas pemedih mata ke padang, langkah kawalan penonton yang FIFA haramkan.
Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) minggu lalu, menyatakan bahawa Infantino dijangka berucap pada mesyuarat Kumpulan Dua Puluh (G20) di Bali, November ini, berhubung persediaan Indonesia menjadi tuan rumah acara antarabangsa.
Minggu lalu, pasukan pencari fakta yang dibentuk oleh kerajaan mengeluarkan laporan yang membuat keseimpulan bahawa penggunaan gas pemedih mata yang “berlebihan” dan “secara sembarangan” adalah punca utama kematian dalam tragedi itu. SUMBER: AGENSI