Jualan tiket Piala Dunia menghampiri paras tiga juta menjelang kejohanan yang bakal bermula di Qatar pada 20 November ini, kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.
10 negara pembeli utama daripada 2.89 juta tiket yang dijual ialah Qatar, Amerika Syarikat, Arab Saudi, England, Mexico, Emiriah Arab Bersatu, Argentina, Perancis, Brazil dan Jerman, kata Ketua Pegawai Operasi Piala Dunia FIFA Colin Smith di Doha, semalam.
“Pada masa ini, hanya tinggal sedikit atau habis langsung bagi setiap perlawanan,” kata Smith.
Infantino pula memberitahu 240,000 pakej hospitaliti dijual untuk kejohanan selama sebulan itu, menjadikannya “program hospitaliti paling berjaya pernah dilakukan,” katanya.
Mengikut laman sesawang FIFA, tiket hospitaliti yang memberikan akses ke ruang istirehat stadium yang mewah, berharga lebih AS$34,300 seorang untuk perlawanan peringkat separuh akhir dan perlawanan akhir.
Qatar, negara terkecil yang pernah menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak global, sedang membuat persiapan untuk menerima kira-kira 1.2 juta pelawat ketika Piala Dunia pertama yang diadakan di negara Timur Tengah.
Ribuan peminat dijangka tinggal di negara jiran seperti hab pelancongan Emiriah Arab Bersatu dan terbang ke Doha untuk perlawanan kerana penginapan terhad di Qatar.
Ketua Pengarah Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia Qatar, Yasir Al Jamal, memberitahu bahawa dua juta bilik habis dijual dan Qatar telah menambah tambahan 30,000 bilik untuk menampung jualan tiket saat akhir.
“Ini telah direka untuk memastikan semua pemegang tiket mempunyai peluang terbaik untuk mendapatkan penginapan,” kata Al Jamal.
Berikutan sebahagian besar 31,000 bilik hotel di Qatar diduduki oleh pasukan bola sepak, kakitangan sokonga dan pegawai Piala Dunia, penganjur menawarkan penginapan peminat di pangsapuri, vila, kabin logam pasang siap, khemah padang pasir dan tiga kapal persiaran yang berlabuh di pelabuhan Doha.
Menurut Smith, Jepun akan menjadi pasukan pertama tiba untuk kejohanan ini pada 7 November. SUMBER: AGENSI