Kebelakangan ini banyak terpapar di media massa dan sosial pelajar golongan B40 tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana kekangan kewangan akibat Covid-19.
Tersentuh dengan situasi tersebut, Srikandi Muda Bersatu Malaysia, mengadakan kerjasama dengan Universiti Limkokwing untuk menawarkan biasiswa.
Ketua Srikandi Muda BERSATU Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, Biasiswa Limkokwing itu ditawarkan khusus kepada golongan pelajar B40.
Katanya, golongan tersebut terjejas teruk akibat Covid-19 lalu dan ramai antara mereka kehilangan sumber pendapatan.
“Biasiswa ini menawarkan pengurangan yuran pengajian sebanyak 70% daripada pihak Universiti Lim Kok Wing manakala pelajar hanya perlu membayar 30% sahaja daripada yuran asal pengajian.
“Semua pelajar yang berjaya mendapatkan tawaran biasiswa ini layak memohon pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya hari ini.
Bagaimanapun kata Nurul Fadzilah, tawaran tersebut terhad kepada 500 orang pelajar terawal sahaja dan pendaftaran untuk biasiswa tersebut telah dibuka.
“Kepada ibu bapa mahupun pelajar itu sendiri, boleh lakukan pendaftaran sekarang dan jangan lepaskan peluang ini.
“Sebarkan kepada kenalan-kenalan anda yang ingin melanjutkan pelajaran khususnya bagi Pelajar Golongan B40,” katanya.