BACHOK | Seramai 62 orang yang terdiri daripada ahli dan penyokong Parti Amanah Negara (Amanah) menyertai Bersatu, semalam.
Ketua Bahagian Bersatu Bachok, Zulkifli Zakaria yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu Malaysia berkata, penyertaan mereka itu akan memperkuatkan lagi saf Bersatu.
Katanya, ia juga dapat memastikan Putrajaya menjadi milik Perikatan Nasional (PN).
“Kita orang Bersatu sudah biasa dengan orang Amanah dan Keadilan, kita semua kawan, kita semua Pakatan Harapan (Ph) dulu, cuma yang membezakan kita kerana kita mempunyai dan menyertai parti politik yang berlainan.
“Sekarang kita sudah bersama dalam satu rumah, kita perkuatkan saf. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan selamat datang kepada ahli-ahli baru yang akan menyertai Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Jelajah Selamat Tinggal PH yang dianjurkan oleh Bersatu Bachok di Kampung Mujur, Dun Pantai Irama.
Sementara itu, Raja Khatini Raja Kadir berkata, mereka dan penyokong-penyokong Amanah di kampung itu sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan parti tersebut.