Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM20,000.
Ameyrudin Ahmad Zuki, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh menyembunyikan wang berjumlah RM10,000 yang didakwa merupakan hasil aktiviti haram, ke dalam akaun rakannya, Shahirudin Mohamad, melalui tiga transaksi deposit di Bank Islam Malaysia Bhd Kepala Batas.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh menyembunyikan wang didakwa hasil aktiviti haram dalam jumlah sama juga ke dalam akaun Shahirudin, melalui tiga transaksi deposit di Malayan Banking Bhd Kepala Batas.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu pada 4 Ogos 2018, mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Shahrom Idris memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan kerana mengambil kira tahap keseriusan kes membabitkan anggota polis.
Namun peguam, Ameyrudin Y Yogeswaran yang mewakili tertuduh, memohon ikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan, dan menetapkan 20 Disember depan untuk sebutan semula kes. – SUMBER: BERNAMA