KUALA BERANG | Kerajaan memberi jaminan bekalan telur ayam mencukupi dan pengguna diminta tidak membuat pembelian panik bagi mengelak gangguan terhadap rantaian bekalan di setiap kawasan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata jaminan itu diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam mesyuarat yang diadakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), baru-baru ini.
Katanya, berdasarkan aduan, kekurangan bekalan termasuk ayam dan telur ketika ini berlaku di negeri-negeri Pantai Timur.
“MAFI memaklumkan jangan risau. Ada sedikit pembelian panik menyebabkan bekalan terganggu dan apa yang kita harap jaminan yang diberikan oleh MAFI akan dapat direalisasikan sama ada dalam tempoh kawalan skim perayaan ini ataupun selepas tempoh kawalan.
“Seperti yang saya sebut tadi, ada pembelian panik. Jadi, apabila berlaku pembelian panik, ia akan mengganggu rantaian bekalan.
“Jadi caranya hadkan pembelian terutama telur. Kita harap ini akan sedikit sebanyak dapat diagihkan sama banyak kepada pengguna,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran SHMMP Deepavali 2022 di sini, hari ini.
Rosol berkata, ada pengusaha membuat kuih di daerah ini yang mana sudah dua minggu tidak membuat kuih kerana kekurangan telur, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
Katanya, masalah kekurangan telur dan ayam di Pantai Timur dipercayai berpunca daripada kawalan harga maksimum yang terlalu lama oleh kerajaan dan sumber bekalan diperoleh dari Pantai Barat.
Sehubungan itu, beliau berharap Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dapat bermesyuarat segera untuk membincangkan jalan penyelesaian bagi menangani isu yang membebankan rakyat itu.
“Maklumat ini kita terima daripada industri yang mendakwa kerajaan mengawal harga terlalu lama. Ia menyebabkan industri terkesan sekali gus menyebabkan kemasukan bekalan ayam dan telur bermasalah.
“Kesannya paling ketara di Pantai Timur kerana sumber bekalan makanan protein ini datang dari Pantai Barat seperti Melaka, Johor dan Perak,” katanya.