Gerakan Tanah Air (GTA) sudah memulakan perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai kemungkinan kerjasama menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun, belum sampai kepada tahap agihan kerusi.
Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, langkah mengadakan perbincangan itu datang daripada keinginan semua pihak untuk memastikan BN tewas dalam pilihan raya kali ini.
“Apabila langkah untuk tewaskan BN itu jadi keutamaan, semua perbezaan antara kami menjadi remeh. Sebab itu, kami boleh duduk bincang bentuk kerjasama yang boleh dipupuk untuk hadapi PRU.
“Ada dua kaedah boleh dilakukan dengan pertamanya menyertai gabungan, tetapi itu mungkin sukar dilaksanakan. Namun, kaedah kedua iaitu membentuk pakatan menyertai pilihan raya tidak mustahil berlaku bagi mengelak pertindihan kerusi sewaktu bertanding,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di sini.
Mengulas klip video dimuat naik Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan kesediaan bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mukhriz berkata, pihaknya tidak kisah untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang memiliki matlamat sama.
“Kita tak kisah yang mana satu, tetapi, setakat ini nampak respons positif daripada PN. Dengan PH, baru semalam sahajalah Tun Dr. Mahathir buat video itu. Fokus kita adalah untuk elak undi golongan yang menentang BN terpecah dua atau tiga,” katanya.
Apatah lagi kata Mukhriz, keadaan cuaca pada hari pengundian tidak dapat dipastikan dan jika hujan, peratusan pengundi tentunya menjadi rendah dan memberi kelebihan kepada BN.
“Terdapat juga cakap-cakap menyatakan tak akan ada satu parti atau gabungan mampu bentuk kerajaan secara bersendirian selepas PRU15. Jadi, kalau sudah itu keadaannya, mengapa tidak kita mulakan kerjasama sebelum PRU daripada kelam-kabut cari kawan selepas PRU berakhir?
“Untuk membentuk kerajaan yang stabil, lebih baik kita buat kesepakatan sebelum PRU. Kesepakatan yang dibina selepas PRU dibimbangi tidak bertahan lama dan kita tak mahu lagi ada kerajaan yang tumbang sebelum cukup tempoh sepenggal tertubuh,” katanya.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta terus melakukan penambahbaikan menjelang PRU15 dengan tidak membenarkan pengundi membawa telefon bimbit masuk ke pusat pengundian.
Menurut Mukhriz, tindakan itu setidak-tidaknya mampu membantu mengelakkan kegiatan membeli undi yang sering dibangkitkan dalam PRU mahu pun Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Katanya, perkara itu tidak sukar dilaksanakan dengan SPR boleh menyediakan sebuah kotak yang dijaga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk pengundi meletakkan peranti masing-masing sebelum masuk ke pusat pengundian.
“Prosedur operasi standard (SOP) ini sangat kritikal untuk dilaksanakan sebab banyak aduan ditimbulkan. Sebelum ini, ada dakwaan pengundi tertentu akan menerima wang kira-kira RM200 sebaik tiba di lokasi pengundian dan apabila tunjuk gambar sebagai bukti yang mereka undi parti tertentu, dapat pula RM100 lagi.
“Dengan RM300 itu sahaja, akhirnya semua kita yang merana. Cukuplah dengan apa yang berlaku sebelum ini dan SPR kena betul-betul tegas dalam memainkan peranan,” katanya. –SUMBER: UTUSAN