Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi umumkan beliau akan berpindah untuk bertanding di kerusi itu.
Ahmad Faizal berkata, sebagai anak jati Tambun, beliau dan rakan sukarelawan serta pendokong Perikatan Nasional (PN) berpendirian, menjadi tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk terus kekal berkhidmat di halaman sendiri.
“Atas prinsip dan semangat demokrasi, saya turut mengalu-alukan mana-mana individu yang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun.
“Mudah-mudahan, kempen pada pilihan raya kali ini berjalan dengan telus dan adil, sekali gus memberi manfaat buat pengundi di Tambun serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan, membuat kenyataan itu susulan pengumuman Anwar malam tadi, untuk bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15, 19 November ini.
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan khabar angin mengatakan Anwar akan meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya ketika ini, selepas menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018.