LARUT | Kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Perak belum cukup menggegarkan parti-parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sejak dahulu menjadi amalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bersikap yakin mampu membawa pengaruh besar di kerusi ditandingi, namun hakikatnya tidak memberi apa-apa kesan.
“Siapa kata Anwar menggegarkan, Anwar dah lama dah mengaku bahawa dia akan menggegarkan negara ni, (tetapi) tidak gegar-gegar juga.
“Dia ada umumkan (bertanding di Tambun), sama ada betul atau pun tidak, kita tunggulah,” katanya kepada pemberita sempena Pelancaran PN Larut di Pekan Selama di sini pada Sabtu.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, setiap parti mempunyai strategi sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi.
“Sebab itu saya bersyukur kerana telah nampak rakyat sudah mula sedar bahawa ada lagi pemimpin-pemimpin dalam negara kita ini, kalau dicari, kalau dipilih, merekanya dari PN.
“Melihat kepada gelombang rakyat yang mahukan pemimpin yang lebih bersih serta berintegriti dan mampu menjaga kebajikan rakyat serta memulihkan ekonomi negara, sudah tentu Perikatan Nasional menjadi pilihan utama mereka.
“Kita amat yakin dapat memenangi lebih banyak kerusi di negeri ini khususnya kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sebelah utara.
“Malah, kita yakin untuk menang 4-0 di Larut pada PRU15 nanti,” katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Larut,” katanya.
Pada Khamis, Anwar mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun yang kini disandang Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.