KUALA LUMPUR | Rakyat dinasihat agar tidak mudah tertipu dengan kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak sanggup mengambil gaji Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan dari mana datangnya kekayaan beliau sehinggakan boleh membiayai kehidupan mewah tanpa mengambil gaji.
“Ada seorang yang mahu jadi Perdana Menteri berkata kalau dia jadi Perdana Menteri, dia tak mahu ambil gaji. Kononnya itu melambangkan komitmen dia mahu bantu rakyat.
“Kita jangan tertipu. Kalau dia begitu kaya hingga boleh membiayai hidup yang mewah tanpa ambil gaji, mana datangnya duit yang dia dapat? Siapa membiayai dia secara rahsia hingga begitu banyak duit?
“Berapa banyak kekayaan yang dia telah kumpul sehingga mampu menolak begitu saja gaji bulanan yang diberi?
“Kita perlu ingat, jika Perdana Menteri bergantung kepada taikun-taikun untuk menyara hidup dan keluarga, maka rasuah akan bermaharajalela dalam negara,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.
Wan Saiful mengulas mengenai kenyataan Anwar yang bersedia untuk memotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri, antara tindakan pertama yang dilakukannya.
Menurut Anwar, pengurangan dan pemotongan gaji itu mahu dilakukan atas dasar memahami keperitan dan kepayahan rakyat yang terpaksa meneruskan hidup dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
“Biar saya beri jaminan di sini, kalau diizin ALLAH pada 20 hari bulan (November) saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri.
“Kerana kalau keadaan ekonomi seperti sekarang, saya tak sanggup ambil gaji Perdana Menteri. Rakyat hidup susah derita dengan upah yang rendah, kemudahan anak-anak tidak terkawal dan kesihatan tidak terurus,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada Khamis lalu.