TANAH MERAH | Sepasang suami isteri warganegara Thailand ditahan ketika cuba menyeludup tepung gandum dan minyak masak subsidi paket satu kilogram (kg) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga di sini, semalam.
Pasangan suami isteri berusia 34 dan 35 tahun ditahan menerusi Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan antara jam 8 pagi hingga 6 petang.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Azman Ismail berkata, ketika pasukan sedang menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa kenderaan, didapati sebuah kenderaan nombor pendaftaran negara asing dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati di bahagian belakang kenderaan penuh dengan muatan barang kawalan tepung gandum sebanyak 530 kilogram (kg) dengan nilai sitaan RM1,272 dan minyak masak paket satu kg sebanyak 102 kg dengan nilai RM255 serta sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux bernilai RM80,000.
“Pasukan bertindak menahan pasangan suami isteri itu yang juga warganegara asing untuk tindakan lanjut.
“Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan.
Menurutnya, suami isteri berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini.