Gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) dianggap begitu mantap sebagai pasukan menanti untuk menerajui Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Ali berkata, gabungan parti terbabit jelas meletakkan prinsip secara tegas mengutamakan integriti.
Katanya, PN mahu pemimpin yang bersih serta tidak terlibat dengan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Ini kriteria yang sangat penting dipersembahkan kepada rakyat untuk membolehkan mereka menilai bagi melahirkan Malaysia berwajah baharu yang lebih segar,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, gabungan parti-parti PN masih dilihat bersih dan layak untuk mentadbir negara.
Menurutnya juga PN akan lebih sinergi untuk membina kekuatan dengan koloborasi bersama parti-parti di Sabah dan Sarawak.
“Saya yakin PN akan memandu negara ke arah lebih sejahtera dan makmur bersama rakyat Malaysia, insyaAllah,” katanya.
Kata beliau juga kehadiran pengundi muda pada PRU14 berjaya menjatuhkan Barisan Nasional (BN) kerana isu integriti, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Katanya situasi itu dijangka berulang pada PRU15, 19 November ini apabila pemimpin Umno yang terbabit dengan salah guna kuasa dibuktikan benar-benar bersalah.