KOTA BHARU | Seramai 120 orang kelainan upaya (OKU) sudah berjaya mendapat pekerjaan sejak Jun lalu selepas menerima bimbingan Pusat Transformasi OKU Universiti Sains Malaysia (USM) – Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pusat sehenti itu diwujudkan bagi membantu OKU memulakan hidup baharu dan berdikari.
Katanya, MAIK menerusi peruntukan Wang Ehsan Kelantan memperuntukkan hampir RM1 juta bagi pembinaan pusat transformasi tersebut yang terletak di USM Kubang Kerian.
“USM mempunyai kepakaran terapi cara kerja yang berperanan untuk menilai impak kecacatan terhadap kehidupan seseorang. OKU di bawah pusat ini boleh dinilai menerusi kekuatan dan potensi bagi membolehkan mereka hidup berdikari.
“Contoh yang dapat diambil menerusi program latihan pekerjaan OKU intelek. Program ini telah berjaya menukar status seramai 120 OKU dari liabiliti kepada produktiviti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan, USM dekat Kubang Kerian di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan Mumtaz Md Nawi; Pengarah Kampus Kesihatan Prof Dr Shaharum Shamsuddin dan Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman.
Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, pusat transformasi itu akan menjadi satu platform kerjasama antara kepakaran universiti dan aktiviti Maik.
Beliau turut menzahirkan kebanggaan apabila seramai 120 orang OKU Intelek telah berjaya mendapat pekerjaan menerusi program tersebut yang mana telah membuktikan keberkesanan program di sini.
Pada masjlis sama Mohamad Rizam turut menyampaikan sijil tamat latihan kepada 44 orang OKU yang mengikuti program dilasanakan Pusat Transformasi ini.
Mohamad Rizam pada masa sama turut mengajak ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu merebut peluang bagi memastikan mereka mampu hidup berdikari pada masa hadapan.
“Saya rasa terkilan kerana masih ramai ibu bapa yang tidak mempunyai kesedaran sehingga mengabaikan golongan OKU. Mereka harus dibantu semasa usia muda dengan merebut peluang yang ditawarkan.
“Pelbagai bantuan daripada agensi kerajaan atau swasta diberikan kepada golongan tersebut. MAIK juga sedang melakukan perkara sama untuk OKU di Kelantan,” katanya