ST LOUIS | Seorang lelaki bersenjata berusia 19 tahun melepaskan tembakan di sebuah sekolah tinggi bandar ini, membunuh seorang guru dan seorang pelajar serta mencederakan tujuh pelajar lain sebelum anggota polis menembak matinya, semalam.
Pesuruhjaya Polis Mike Sack, berkata siasatan awal mendapati penyerang tidak mempunyai motif yang jelas, tetapi dipercayai mempunyai penyakit mental.
Menurutnya, pelajar yang melarikan diri dari Sekolah Menengah Seni Visual dan Persembahan Pusat ketika polis tiba di situ memberitahu penembak terbabit bersenjatakan senapang.
Katanya, polis menyerbu sekolah itu dan selepas berbalas tembakan berjaya menembak mati suspek, menamatkan kejadian kira-kira 15 minit selepas panggilan pertama meminta bantuan diterima kira-kira jam 9:10 pagi.
“Suspek dikenali sebagai Orlando Harris, 19, yang lulus sekolah menengah tahun lalu dan tidak mempunyai sejarah jenayah lampau.
“Terdapat syak kemungkinan suspek mempunyai beberapa penyakit mental. Kami sedang berusaha mendapatkan maklumat lebih terperinci,” katanya.
Sack berkata, mangsa yang terbunuh adalah seorang guru berusia 61 tahun dan seorang gadis berusia 16 tahun, manakala empat remaja lain mengalami luka akibat tembakan dan tiga lagi remaja mengalami kecederaan lain dalam kejadian itu.
Akhbar St Louis Post-Dispatch, memetik saudara mara yang mengenal pasti guru berkenaan sebagai Jean Kuczka, mengajar subjek kesihatan dan pendidikan jasmani.
“Walaupun di atas kertas, kami mungkin mempunyai sembilan mangsa…kami mempunyai ratusan mangsa lain. Semua orang yang terselamat dalam kejadian ini akan membawa pulang trauma,” kata Sack.
Tahun ini sahaja, kejadian tembakan di sekolah Amerika Syarikat menyebabkan berpuluh-puluh orang mati dan cedera. Antara kejadian paling banyak membabitkan kematian ialah pada Mei lalu, apabila seorang lelaki bersenjata membunuh 19 kanak-kanak dan dua orang dewasa di Uvalde, Texas.
Sack enggan menyatakan bagaimana suspek berjaya memasuki sekolah yang dihadiri kira-kira 380 pelajar dan memberitahu bahawa pintu ke bangunan sekolah telah dikunci, sekali gus memperlahankan keupayaannya memasuki ke dalam.
Katanya, sekolah tinggi itu mempunyai tujuh pegawai keselamatan, tetapi tidak bersenjata serta alat pengesan logam. SUMBER” AGENSI