Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa jentera gabungan parti Perikatan Nasional (PN) agar berhati-hati dengan pendekatan ‘membeli ahli dan keluar parti’ oleh pihak lawan, khususnya UMNO-BN, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Wan Saiful berkata pendekatan ini adalah strategi biasa yang hampir digunakan dalam setiap pilihan raya.
“Saya tidak terkejut dalam masa dua tiga minggu akan datang ini, akan ada percubaan untuk membeli petugas-petugas dan tokoh-tokoh tertentu daripada mana-mana parti komponen PN. Ini strategi biasa yang hampir digunakan dalam setiap pilihan raya. Ada sahaja pilihan raya, akan ada orang yang keluar parti, disebut konon nak protes.
“Ini berlaku dalam BERSATU. Ketua BERSATU Bahagian Padang Terap umum nak keluar parti, antara perkara yang beliau sebut adalah beliau tak puas hati tak dapat peruntukan.
“Beliau juga ada menyebut menyokong UMNO-BN. Ini menimbulkan persoalan. Kalau complain tak dapat peruntukan, tiba-tiba sokong UMNO-BN, banyak mana peruntukan yang kamu dapat?
“Dan ini satu perkara yang kita hati-hati, dalam kita bawa agenda perjuangan, kita sentiasa ingat bahawa harta dan kuasa bukan kekal selama-lamanya,” katanya dalam ucapan di Majlis Pelancaran Jentera PN Bangi di sini, pada Selasa.
Yang turut hadir, Yang Di-Pertua PAS Kawasan Bangi yang juga Ketua Badan Perhubungan PN Kawasan Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah.
Baru-baru ini, bekas Ketua Bahagian BERSATU Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, yang juga bekas ADUN Kuala Nerang, mengumumkan keluar parti bersama lebih 1,000 ahli BERSATU Padang Terap.
Meskipun tidak mengumumkan menyertai mana-mana parti, Syed Sobri bersama pengikutnya memaklumkan akan menyokong calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Padang Terap pada PRU15.
Bagaimanapun, Pemangku Ketua Bahagiannya, Mohd Zharif Mohd Zohdi menafikan 1,000 ahlinya bertindak keluar parti, sebaliknya hanya empat ahli berdaftar berbuat demikian.
Mohd Zharif berkata empat ahli berkenaan bertindak sedemikian dan tindakan Syed Sobri meninggalkan parti itu sudah dijangka, selain ia adalah bersifat peribadi serta tidak membabitkan kebanyakan ahli BERSATU lain.