QATAR | Qatar berdepan kritikan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, yang sebahagiannya berunsur fitnah.
Pemerintah Qatar, Emir Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, berkata negaranya pada mulanya menangani perkara itu dengan niat baik, sambil menambah bahawa beberapa kritikan awal adalah membina.
Namun, katanya kempen menentang Qatar bertukar menjadi mencipta cerita palsu dan ketidakadilan yang begitu ganas sehingga menyebabkan pelbagai pihak mempersoalkan motif sebenar di sebalik kempen itu.
Qatar, negara Asia Barat pertama menjadi tuan rumah Piala Dunia, mendapat kritikan hebat media Barat kerana dikatakan memberi layanan buruk terhadap pekerja asing, selain undang-undang sosial yang ketat.
Emir Qatar berucap pada sesi Majlis Syura yang menjadi penasihat negara Teluk Arab itu ketika Doha bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan utama bola sepak dunia, yang bermula pada 20 Nov.
Qatar menjangkakan kehadiran 1.2 juta pengunjung sepanjang kejohanan itu, mewujudkan cabaran logistik dan keselamatan yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk negara kecil Teluk Arab itu.
Sheikh Tamim berkata, penganjuran Piala Dunia adalah ujian hebat untuk negara sebesar Qatar”.
“Kami menerima cabaran ini kerana yakin terhadap potensi kami sebagai warga Qatar, untuk menangani misi ini dan menjayakannya.
“Ia adalah kejuaraan untuk semua dan kejayaannya kejayaan untuk semua,” katanya,
Pekerja asing adalah kira-kira 85 peratus daripada kira-kira 3 juta penduduk Qatar, iaitu antara pengeluar gas asli terkemuka dan terkaya di dunia.
Sheikh Tamim berkata, harga minyak dan gas yang lebih tinggi membantu Qatar merealisasikan lebihan bajet kerajaan sebanyak 47.3 bilion Riyal (AS$12.8 bilion) untuk separuh pertama tahun ini, berbanding unjuran defisit dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 4.3 peratus.
“Lebihan bajet itu akan disasarkan untuk mengurangkan tahap hutang awam dan meningkatkan rizab kewangan negara.”
“Piala Dunia akan membolehkan Qatar mempamerkan kekuatan ekonomi dan institusi serta identiti budayanya, katanya. -AGENSI