Manchester United mungkin tidak memenangi perlawanan pertama selepas menyingkirkan Cristiano Ronaldo dari skuad, namun keputusan seri 1-1 di Chelsea, Sabtu lalu, seolah-olah mengesahkan kepercayaan bahawa mereka lebih baik tanpa bintang individu itu.
Walaupun memerlukan jaringan Casemiro pada minit ke-94 untuk meraih satu mata, United mendominasi sebahagian besar perlawanan dan kelihatan jauh lebih padu tanpa pemain terbaik dunia lima kali itu.
Ronaldo yang diarahkan berlatih bersendirian oleh jurulatih Erik ten Hag sejak meninggalkan pasukan ketika United menewaskan Tottenham Hotspur 2-0, hanya memulakan dua perlawanan Liga Perdana musim ini, membelasah Brentford 4- 0 dan seri 0-0 dengan Newcastle United.
Dalam kemenangan mengagumkan United musim ini ketika menentang Liverpool, Arsenal dan Tottenham, pemain berusia 37 tahun itu hanya bermain selama 36 minit.
Satu-satunya detik penentunya datang apabila dia menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 di Everton selepas Ten Hag terpaksa berharap kepadanya apabila Anthony Martial dikeluarkan akibat kecederaan.
Jaringan itu adalah gol ke-700 Ronaldo dalam sejarah bola sepak kelab dan penyudah hebat yang hanya segelintir rakan sepasukannya mampu lakukan.
Namun detik kehebatan Ronaldo semakin jarang berlaku. Malah dalam Liga Europa, dia hanya memulakan semua empat perlawanan menentang lawan biasa-biasa seperti Sheriff Tiraspol dan Omonia Nicosia, serta hanya menjaringkan satu gol penalti.
Ronaldo adalah penjaring terbanyak United musim lalu dengan 18 daripada 57 gol Liga Perdana pasukan selepas kembali ke Old Trafford, 12 tahun selepas tempoh kegemilangan meraih pelbagai kejuaraan bersama kelab itu.
Bagaimanapun, United turut mengalami beberapa siri kekalahan memalukan seperti tewas 5-0 di tempat sendiri kepada Liverpool dan 4-1 kepada Watford serta menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana. Pada musim sebelum Ronaldo tiba, kelab menduduki tempat kedua dan menjaringkan 73 gol.
Pengurus sebelum ini, Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick, tidak mampu untuk kerap meninggalkan Ronaldo daripada pasukan. Namun, Ten Hag bersikap kejam terhadapnya dan United kini mesti memutuskan apa yang perlu dilakukan terhadap penyerang terkenal mereka.
United tidak menerima tawaran serius untuknya pada musim panas. Walaupun tawaran boleh tiba pada Januari nanti, cara terbaik untuk memastikan Ronaldo pergi adalah dengan membatalkan kontraknya yang akan menelan belanja kira-kira 10 juta Pound.
Namun antara halangan menentang kehilangan Ronaldo ialah ketiadaan pilihan serangan lain. Martial sangat terdedah kepada kecederaan, Marcus Rashford terlepas peluang keemasan sejak kebelakangan ini, manakala pembelian Jadon Sancho masih gagal memberi pulangan.
Namun United boleh mencontohi Arsenal yang pada Januari lalu, berdepan isu kewangan untuk berpisah dengan bekas kapten, Pierre-Emerick Aubameyang yang melanggar kod disiplin jurulatih Mikel Arteta.
Arteta yang juga menyingkirkan Mesut Ozil sebelum kontraknya tamat, membimbing Arsenal ke puncak Liga Perdana dan kini wujud suasana lebih harmoni di kelab itu.
United menunjukkan tanda-tanda kebangkitan yang sama di bawah Ten Hag dan semakin jelas bahawa cara terbaik untuk mencapai potensi mereka adalah dengan berganding bahu di belakang jurulatih, bukan penyerang yang semakin pudar. SUMBER: AGENSI