Golongan belia terutamanya Undi18 wajar menghadiri program politik yang dianjurkan mana-mana pihak bagi menimba pengalaman dan menilai sendiri parti terbabit.
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, mereka digalak mengikuti perkembangan politik termasuk menghadiri tempat ceramah parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Katanya pengundi muda boleh melihat sendiri perjalanan parti politik terbabit.
“Pada peringkat awal kita usah berpihak dahulu. Malah ketika saya berkhidmat sebagai guru dahulu, kami memberi galakan kepada pelajar untuk pergi ke tempat-tempat ceramah untuk mendapat pendedahan politik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya juga gerak kerja kempen Undi18 digembling Pemuda PAS, Ameerah dan Nisa’ melalui pelbagai program yang mereka anjurkan.
Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri ketika ditanya kemungkinan namanya diketengahkan sebagai calon parlimen, katanya perkara itu terserah kepada pucuk pimpinan parti.
“Kita tidak tahu lagi benda ini benar atau tidak, tunggu arahan daripada pusat.
“Kalaulah diminta saya bertanding kita terpaksa akur kerana kita mewakafkan diri kepada perjuangan,” katanya.
Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Zulkifli Mamat sebelum ini memberitahu Perikatan Nasional (PN) Kelantan dijangka mengumumkan nama calon pada 3 November ini.
Difahamkan PAS akan mempertahankan kerusi parlimen Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Kuala Krai, Kubang Kerian, Rantau Panjang, Pasir Puteh dan Pasir Mas.
Manakala Bersatu yang juga akan bertanding menggunakan logo PAS mempertahankan parlimen Jeli dan Tanah Merah. Selain itu bertanding di parlimen Ketereh, Machang dan Gua Musang.