Imam di seluruh masjid dibawah Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) diminta untuk tidak menjadikan tempat ibadah tersebut sebagai medan atau gelanggang berpolitik serta berkempen.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu surat pentadbiran 11 Oktober lalu.
Katanya, surat tersebut berkaitan penangguhan pengeluaran kebenaran khas mengajar agama kepada penceramah di masjid bandar, jajahan dan mukim di seluruh Kelantan.
Menurutnya, surat itu juga dikeluarkan bagi mengelakkan masjid daripada menjadi lokasi kempen kumpulan tertentu bagi menyampaikan agenda yang dibawa.
“Saya mengingatkan pegawai masjid supaya perlu memastikan penceramah yang memiliki tauliah mengajar agama daripada MAIK sahaja yang dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 91 Enakmen MAIK.
“Hal ini termasuk menyampaikan khutbah yang mana pegawai masjid dan khatib undangan yang dilantik sahaja dibenarkan menyampaikannya bagi mengelak mimbar yang suci dijadikan ‘gelanggang’ kempen bagi tujuan kepentingan peribadi dan juga kumpulan tertentu,” katanya selepas Majlis Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua MAIK Bersama Imam-Imam Kelantan Tahun 144H/2022M di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.
Menurutnya Tengku Temenggong Kelantan lagi, kesucian masjid boleh tercemar sekiranya dijadikan gelanggang politik kerana ia sentiasa membawa mesej negatif dan memecah belahkan umat, sedangkan masjid adalah tempat untuk mengeratkan silaturahim.
“Sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berlangsung dalam masa terdekat, secara automatik iklim politik tanah air berubah kepada mod kempen pilihan raya.
“Sebagai peringatan, semua pegawai masjid mukim tidak dibenarkan untuk terbabit secara langsung dalam apa jua kempen mahupun aktiviti dan urusan yang membabitkan politik kepartian sepanjang tempoh pilihan raya walaupun mempunyai ideologi dan fahaman politik tersendiri,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, sifat orang yang beriman adalah sentiasa menyeru kepada perdamaian dan menjauhi perkara yang mengakibatkan perpecahan.
“Justeru, masjid mesti menjadi medan menyatukan ummah daripada pelbagai ideologi politik dan fahaman dan dalam hal ini, pegawai masjid harus bebas daripada pengaruh politik kepartian,”katanya.
Pada majlis yang dihadiri lebih 610 imam dari seluruh negeri itu, beliau turut menyampaikan sumbangan fidyah hampir RM1 juta kepada 20 masjid bandar dan jajahan di seluruh Kelantan untuk diagihkan kepada keluarga memerlukan di 610 mukim.
Pada masa sama, Mohamad Rizam juga turut menyampaikan replika cek RM38,500 daripada Dana Awam MAIK untuk disumbangkan kepada pengurusan Masjid Teluk Renjuna, Tumpat bagi pembelian bot.