Naib Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Radzi Jidin yakin kerusi Parlimen Putrajaya akan jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, para pengundi di Putrajaya khususnya penjawat awam dapat menilai perbezaan antara pentadbiran PN, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Radzi mendakwa, ramai pegawai dan kakitangan kerajaan berasa tidak selesa ketika berkhidmat di bawah pentadbiran PH selepas PRU-14 dahulu.
“Kerja cari salah orang sahaja dan pegawai kerajaan ditukar sesuka hati kerana tak penuhi keinginan mereka.
“Ramai yang tertekan dan kurang selesa,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Prihatin PN Parlimen Putrajaya di sini, pada malam Rabu.
Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.
Radzi menambah, kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin BN pula menyebabkan beberapa pegawai dan kakitangan kerajaan dipanggil menjadi saksi.
Beliau memberitahu, situasi yang dihadapi penjawat awam ketika era pentadbiran PN adalah berbeza.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin menghormati pandangan dan keputusan pegawai-pegawai kerajaan,” jelasnya.