APABILA disebut Jinjang, ramai yang gerun kerana dikatakan salah seorang gangster paling ganas Malaysia iaitu Botak Chin bersama sekutunya menjadikan Jinjang sebagai tempat persembunyiannya.
Di Jinjang juga terdapat beberapa kumpulan gangster Cina sewaktu saya membesar di situ. Adalah sesuatu yang biasa melihat budak-budak Cina Jinjang menggunakan perkataan kesat dan sumpah seranah ketika berborak apatah lagi ketika bertengkar.
Malahan tidak keterlaluan jikalau saya katakan bahawa perbualan itu jadi lebih ‘mesra’ apabila perkataan kesat dijadikan imbuhan tambahan awalan, akhiran, apitan dan sisipan.
Sudah tentu saya yang membesar dengan dikelilingi kawan-kawan Cina dan menonton drama serta filem Hong Kong juga tidak terkecuali menggunakan perkataan seumpama itu. Sumpah seranah dan berkata kesat dah jadi seperti santapan harian.
Jiwa seperti kekosongan andai tidak sumpah seranah atau berkata kesat di kalangan sahabat-sahabat saya.
Saya juga perasan orang Melayu tidak mempunyai banyak kata-kata kesat yang 100 peratus berasal dari Bahasa Melayu kerana majoriti perkataan kesat yang digunakan orang Melayu adalah dari Bahasa Cina atau Tamil atau Inggeris yang telah dimelayukan.
Barangkali orang Melayu diajar dengan adab Islamiah maka jikalau mereka terasa nak marah atau memaki, mereka akan berlapik dan gunakan bahasa yang lebih sopan seperti;
“Bertuah punya budak.”
“Kurang asam.”
“La Illaha illalah.” (Tapi budak bukan Melayu sebut La Illala sahaja sebab tak faham)
Tetapi selepas memeluk Islam dan mula belajar mengenai adab dan akhlak dalam Islam, saya belajar menahan diri dari menggunakan perkataan kesat dan kasar walaupun perkataan seperti itu telah sebati dengan hidup saya. Kenapa?
Kerana bila saya memeluk Islam, saya perlu ikut ajaran Islam bukannya Islam kena ikut saya. Sehinggakan sahabat-sahabat saya yang belum Muslim yang telah lama mengenali saya perasan saya tidak lagi sumpah seranah dan berkata kesat. Mereka kenal dan tahu level sumpah seranah saya dulu.
Saya tidak boleh menggunakan alasan bahawa saya berasal dari Jinjang dan adalah biasa untuk saya sumpah seranah dan gunakan perkataan tidak elok maka is ok untuk saya terus menggunakan hari ini dalam kehidupan seharian.
Bayangkan pula kalau saya berceramah di dalam surau dan masjid tetapi sumpah seranah dan berkata kasar dan kesat? Saya tak boleh menjustifikasi tindakan saya itu kerana Nabi diutuskan untuk menyempurnakan akhlak:
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
[Hadis Riwayat Ahmad (2/381)]
Islam tidaklah menghalang budaya dan adat resam dan malahan meraikannya selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Bagi diri saya dan sahabat-sahabat yang beragama Islam, perkataan kita adalah cerminan akhlak kita.
Kita tundukkan akal dan hawa nafsu kita pada perintah Allah dan RasulNya bukannya menjustifikasi atau menukar perintah Allah dan RasulNya untuk disesuaikan dengan hawa nafsu kita.
Tak mampu berkata baik, kita diam sahaja. Islam dah ada guideline yang jelas kita follow je.
FIRDAUS WONG WAI HUNG
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – SUMBER: HARAKAHDAILY