KOTA BHARU | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan pengamal media berdaftar sebagai pengundi pos bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Komunikasi Korporat SPR, Mohd Azlan Charles Abdullah berkata pendaftaran bagi petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, polis, tentera termasuk media akan berakhir pada 2 November.
“Kita memahami tugas pengamal media ketika hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen, jadi kita galakan supaya mendaftar sebagai pengundi pos.
“Hanya perlu mengisi borang 1A secara manual yang dimuat turun dari web SPR serta memberitahu pengawai pengurus pilihan raya bagi memaklumkan dan memudahkan proses pengundian nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program taklimat kepada petugas media sempena PRU15 di Dewan Kasturi Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan di sini hari ini.
Permohonan tersebut dibuka selepas pengumuman pembubaran Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu.
SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berhubung dengan pengisytiharan pembubaran Dewan Rakyat penggal yang ke-14 pada 11 Oktober lalu.
Turut dibubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Pahang dan Perlis, manakala Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang belum membubarkan DUN.
SPR memutuskan PRU15 perlu diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi di Dewan Rakyat, serta 42 kerusi DUN Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 di DUN Perak.
Pada masa yang sama, PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.