Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada PAS Negeri Terengganu dan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas kejayaan menunaikan semua manifesto yang telah dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Presiden PAS itu berkata, kejayaan itu sekali gus menunjukkan bahawa PAS sentiasa komited dalam mengotakan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua wakil rakyat PAS supaya meneruskan bekerja keras dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan kepada PAS.
“Semoga rakyat dan negeri sentiasa mendapat limpahan berkat dan pertolongan daripada Allah SWT,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Ini susulan secara rasminya dua lagi manifesto PRU14 lalu iaitu Kolej Universiti dan Bandar Lestari mula dilaksanakan melalui majlis pecah tanah oleh Dr Samsuri, semalam.
Dalam Belanjawan negeri 2022, sebanyak RM350 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan Kolej Universiti Quran Terengganu di Durian Mentangau, Dungun.
Sementara Bandar Lestari Durian Mentangau dan Bandar Lestari Bukit Seraya menjadi perintis kepada Bandar Lestari di negeri itu.
Dengan dua lagi manifesto itu, PAS Terengganu telah menunaikan keseluruhan 20 manifesto sepanjang tempoh pemerintahan sehingga kini.