PUTRAJAYA | Kerajaan Kelantan tidak pernah meminggirkan golongan artis, selebriti dan penggiat seni tanah air, malah kebersamaan selebriti diiktiraf sebagai simbol kepada pengukuhan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang berjaya dirakyatkan bukan sahaja di negeri Kelantan bahkan di peringkat Malaysia dan antarabangsa.
Begitu kata Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan, Ahmad Yakob ketika merasmikan Majlis Meraikan Selebriti dan Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang penuh mahabbah di Hotel Le Meridien, di sini, malam tadi.
“Ekoran pandemik Covid-19 sebelum ini, sudah lebih dua tahun tidak berlangsung program seperti pada malam ini,” ujar beliau.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood; dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Kelantan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.
Majlis tersebut diadakan bagi meraikan selebriti dan anak seni tempatan antara yang hadir termasuklah ikon seni tanah air, Datuk Rosyam Nor, Presiden Seniman Malaysia, Zed Zaidi; dan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Tukiman Radion.
Turut hadir ialah pelakon Mustapha Kamal atau dikenali juga sebagai Abe Mus, Sabri Yunus, Mek Habsah, Angeline Tan, penyanyi Jefrey Din dan ramai lagi.
Ahmad Yakob beliau turut menghargai pandangan Rosyam mengenai pembangunan dan inisiatif untuk memartabatkan seni tanah air khususnya di negeri Kelantan.
Ini kerana Kelantan sememangnya terkenal dengan sebagai gedung budaya yang kaya dengan warisan seni turun-temurun.
Sehubungan itu, pada majlis tersebut, pemimpin kerajaan Kelantan juga turut mengadakan perbincangan dan berkongsi pandangan dengan selebriti dan anak seni tempatan yang hadir dalam usaha memaju dan memartabatkan kesenian dan kebudayaan negeri pada masa hadapan.
Sementara itu, Md Anizam Ab Rahman berkata, berhibur bukan sesuatu yang salah, tetapi apa yang salah adalah tingkah laku yang melampaui batas ketika berhibur.
“Pada 22 Oktober lepas sebagai contohnya, kerajaan negeri Kelantan telah menghimpunkan penggiat seni wanita anak Kelantan dalam satu majlis khas untuk kaum hawa sahaja.
“Penggiat seni tersohor, Datuk Nora dan rakan-rakan diraikan dan telah dinobatkan sebagai ikon seni wanita kelantan di samping penyanyi veteran, Rosemaria Abdul Hamid yang pernah bergelar Juara Bintang RTM 1977.
“Pada 13 Mei lalu pula, bertempat di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, pengarah dan pelakon berkaliber, Sabri Yunus telah dinobatkan sebagai duta anak seni Kelantan bersama ramai lagi pendikir-pendikir lain sebagai satu bukti penhormatan dan pengiktirafan kerajaan negeri kepada anak seni para pendikir,” ujarnya.
Tambah Md Anizam, kerajaan Kelantan juga tidak meminggirkan artis bukan Islam untuk berkarya melalui platform dan budaya masing-masing.
“Contohnya, adik Dennis Koit Jun Leong yang tampil dengan lagu berkonsepkan rap 3 bahasa iaitu bahasa Kelantan, Cina dan Inggeris,” jelas beliau.
Beliau berkata, kerajaan Kelantan sentiasa menyokong anak seni yang giat memartabat dan mempertahankan seni warisan budaya negeri itu.
“Program sebeginilah yang akan berjaya mendasari hati nurani serta menyelami jati diri masyarakat yang membawa kepada jalinan ukhwah dan kemesraan,” ujarnya.