KUALA KEDAH | Maritim Malaysia menyelamatkan 133 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi yang terkandas di kedudukan 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima panggilan dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang memaklumkan sebuah feri terkandas jam 4.30 petang.
Katanya, bot Perkasa 1224 diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan dalam usaha membantu pihak feri dan JLM sebelum paras air mula surut.
“Feri dipercayai terkandas berikutan cuba mengelak tali sauh kapal korek pasir di muara Kuala Kedah.
“Terdahulu, feri berkenaan cuba ditunda oleh sebuah bot (tug boat) milik syarikat kargo di Kuala Kedah namun feri berkenaan terkeluar dari laluan dan tersangkut di beting lumpur.
“Seramai 133 penumpang termasuk kanak-kanak dan wanita berada di atas feri berkenaan berjaya dibawa keluar oleh Maritim Malaysia dan dibantu beberapa bot nelayan tempatan ke Jeti Penumpang Kuala Kedah,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata,operasi menyelamat yang dikoordinasikan oleh Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi tamat pada jam 6.30 petang semalam selepas kesemua penumpang berjaya dipindahkan ke jeti dalam keadaan selamat.
Antara agensi dan jabatan yang terlibat ialah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).