AMPANG | Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan pembinaan sekolah baharu di kawasan Bukit Antarabangsa yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi selepas 14 tahun penduduk di kawasan itu menunggu berita baik berkenaan.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata projek pembinaan Sekolah Kebangsaan Ukay Sungai Sering dijangka bermula pada November tahun depan.
“Pembinaan sekolah ini untuk penduduk Bukit Antarabangsa sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10
(RMK-10) lagi tetapi masih belum dapat dibina kerana terdapat kekangan tertentu.
“Kita (KPM) berusaha gigih bersama Ahli Parlimen Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) selesaikan perkara ini.
Setakat ini urusan berkaitan tanah telah selesai, tapak sudah ada, Insya-Allah kontraktor akan masuk hujung tahun depan dan sekolah dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2025,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-Sama Komuniti di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ukay Perdana, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali danTimbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembangunan), Nor Azman Abdul Rahman.
Radzi berkata, KPM menyedari terdapat keperluan untuk menyiapkan segera sekolah di kawasan itu mengambil kira pelbagai faktor kritikal didepani masyarakat setempat.
Ini termasuk kesukaran ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke sekolah di kawasan lebih jauh termasuk sehingga ke Keramat dan Taman Melawati selain sekolah berhampirannya sudah menghampiri kapasiti optimum.
Sekolah berkenaan boleh memuatkan lebih 2,000 murid dengan pelbagai kemudahan termasuk 30 bilik darjah dan infrastruktur untuk murid pra sekolah.
Radzi turut berkata, KPM komited untuk menyelesaikan isu pembinaan sekolah baharu mengambil kira sekolah sedia ada tidak mampu menampung kepadatan penduduk yang tinggi.
Jelasnya, di Lembah Klang, antara kawasansekolah yang mempunyai jumlah penduduk padat termasuk Hulu Langat, Semenyih, Dengkil dan Sepang.
“Paling padat sekali (ketika ini) di Klang sekolah sesi pagi dan petang cecah hampir 4,000 murid. Kita tak mahu ada sekolah yang jadi seperti ini.
“Apabila lambat (permohonan bina sekolah), nak dapatkan tanah pun susah ,khususnya di kawasan lama yang tanah tidak dirizabkan. Maka dalam tempoh dua tahun setengah ini (terajui KPM), inilah yang saya usahakan,” katanya.