KUALA LUMPUR | Pengundi yang celik ilmu dan telah mengetahui apa yang sebenarnya berlaku sebelum ini, diseru supaya menyerahkan tanggungjawab mentadbir negara kepada tangan pemimpin yang amanah, bersih dan berintegriti.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS berkata nilai integriti – sebagaimana prinsip asas diperjuangkan gabungan PN – adalah tunjang kepada segala urusan kehidupan dan kenegaraan.
“Justeru, bagi menegakkan keadilan dan menjamin kesejahteraan yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia, amanah wajib diserahkan kepada orang yang berkelayakan dari segi iman, akhlak, integriti, dan ilmu.
“Demikian juga, rakyat yang mengundi dan memilih pemimpin mestilah berintegriti berasaskan kematangan akal dan ilmu, bukan semata-mata berdasarkan faktor umur dan usia.
“Nilai integriti merupakan tunjang segala urusan, khususnya dalam politik kenegaraan yang merupakan suatu amanah paling besar kerana ia menjadi payung kepada urusan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.
Abdul Hadi yang bakal mempertahankan kerusi Parlimen Marang, Terengganu berkata integriti dalam Islam lahir daripada hidayah sebenar yang dikurniakan oleh Allah SWT ke dalam hati manusia yang menjadi raja bagi seluruh jasad.
Menurutnya perbezaan yang paling ketara antara objektif integriti mengikut acuan Islam berbanding dengan ideologi dan teori ciptaan manusia ialah aspek kerohanian dan keimanan yang mengandungi penilaian dosa dan pahala.
“Oleh sebab itulah, tiada integriti dalam diri golongan yang tidak beriman dan munafiq, termasuklah mereka yang tidak berpegang dengan Islam yang sempurna kerana sentiasa berpura-pura dalam sikap integriti,” katanya.
Sebab itu, katanya PAS dan parti komponen PN Maka, menetapkan nilai berintegriti sebagai satu aspek yang penting bagi calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya dan memerintah kerajaan.