KOTA BHARU | Datuk Seri Mustapa Muhamad memutuskan untuk tarik diri daripada mempertahankan kerusi Parlimen Jeli menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat doktor mengenai tahap kesihatan yang tidak mengizinkan untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang berkesan.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), berkata keputusan itu juga sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sehubungan ini, saya ingin menzahirkan ucapan setinggi terima kasih kepada semua rakyat di kawasan Parlimen Jeli yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama sepanjang saya merencanakan agenda pembangunan sosioekonomi di Parlimen Jeli sejak tahun 1995.
“Sesungguhnya, saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada
saya selama ini untuk mewakili rakyat di Parlimen Jeli.
“Saya juga ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua sahabat-sahabat
yang menganggotai Jemaah Menteri atas segala bimbingan dan kerjasama yang diberikan sepanjang berada dalam barisan Jemaah Menteri,” katanya.
PN Kelantan dijadualkan mengumumkan senarai nama calon yang akan bertanding pada PRU15 di negeri ini malam ini.