RIYADH | Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman pada Khamis (3 Nov) melancarkan Ceer, jenama kenderaan elektrik pertama Saudi.
Ceer ialah jenama automotif Saudi pertama yang menghasilkan kenderaan elektrik di negara itu, dan akan mereka bentuk, mengeluarkan dan menjual pelbagai kenderaan termasuk sedan dan kenderaan utiliti sukan untuk pengguna di Saudi dan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Jenama itu akan menyumbang kepada sektor pembuatan automotif Saudi dan pelancarannya adalah sejajar dengan strategi Dana Pelaburan Awam (PIF) Saudi yang memfokuskan pada membuka kunci keupayaan sektor tempatan untuk membantu mempelbagaikan ekonomi.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman. (FOTO: Gulf.insider)
Syarikat itu juga akan menyumbang kepada usaha Saudi ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan memacu kemampanan untuk menangani kesan perubahan iklim.
“Arab Saudi bukan sekadar membina jenama automotif baharu, kami sedang menyemarakkan industri baharu dan ekosistem yang menarik pelaburan antarabangsa dan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan untuk bakat tempatan, membolehkan sektor swasta, dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)Saudi pada dekad akan datang sebagai sebahagian daripada strategi PIF untuk memacu pertumbuhan ekonomi sejajar dengan Wawasan 2030,” titah Putera Mohammed.
Sebahagian daripada strategi PIF untuk mempelbagaikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Saudi dengan melabur dalam industri pertumbuhan yang menjanjikan, Ceer akan menarik lebih AS$150 juta pelaburan langsung asing, dan mewujudkan sehingga 30,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung.
“Ceer dijangka menyumbang secara langsung AS$8 bilion kepada KDNK Saudi menjelang 2034,” ujar kenyataan kerajaan Saudi menurut Saudi Gazette pula.
Syarikat itu, yang merupakan usaha sama antara PIF dan Foxconn, akan melesenkan teknologi komponen daripada BMW untuk digunakan dalam proses pembangunan kenderaan.
“Foxconn akan membangunkan seni bina elektrik kenderaan, menghasilkan portfolio produk yang akan menerajui bidang infotainment, ketersambungan dan teknologi pemanduan autonomi.
“Setiap kenderaan akan diuji dengan kawalan kualiti dan piawaian keselamatan automotif global tertinggi. Kenderaan Ceer dijadualkan tersedia pada 2025,” ujar kenyataan tersebut. SUMBER: AGENSI