KOTA BHARU | Polis menahan dua lelaki dan merampas 18,000 biji pil yaba serta 0.3 liter air ketum di pekarangan pam minyak di Jalan Hamzah di sini, semalam.
Rampasan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan pada jam 2.20 pagi itu merampas dadah bernilai keseluruhan RM180,010.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dua lelaki yang ditahan yang juga penganggur berusia 24 dan 49 tahun.
Katanya, ketika serbuan, polis menahan sebuah kereta jenis Hyundai yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik di dalamnya diisi tiga bungkusan kertas yang mempunyai pil disyaki yaba dan satu botol cecair dipercayai ketum.
“Polis menemukan 18,000 biji pil yaba dan 0.3 liter air ketum, manakala kereta jenis Hyundai bernilai RM9,000, wang tunai RM523 dan seutas jam tangan RM250 disita,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 49 tahun di lokasi yang sama pada jam 2.45 pagi hari yang sama.
Katanya, tiada barang yang dirampas dan dua lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 10 November ini,” katanya.