KOTA BHARU | Walaupun menghadapi persaingan sengit enam penjuru, namun calon PAS bagi Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan optimis akan terus diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Takiyuddin berkata, beliau yakin dengan sokongan yang diberikan oleh pengundi dan persaingan enam penjuru di Kota Bharu itu adalah satu pertandingan yang sihat.
“Saya bersyukur kerana proses penamaan calon hari ini berjalan dengan lancar. Saya dapati parti yang biasa masuk pertandingan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) juga ada, di samping parti yang lain.
“Saya dengan rendah diri optimis kita akan terus diberikan mandat untuk memimpin Parlimen Kota Bharu.
“Kempen PAS adalah untuk terus mewujudkan kerajaan yang bersih akhirnya kerajaan yang stabil dan baik,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini, hari ini.
Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berkata, dalam kalangan parti di bawah Perikatan Nasional (PN) adalah bersih daripada apa-apa gejala yang tidak sihat dan bercanggah dengan undang-undang.
