POKOK SENA | Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Parlimen Pokok Sena menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan PERIKATAN NASIONAL (PN), Warisan, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PN).
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya mewakili PN, Noran Zamini Jamaludin (BN), Dato’ Mahfuz Omar (PH) dan Noraini Md Salleh (Warisan).
Nama keempat calon berkenaan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen, Ahmad Bawadir Abd Ghani kira-kira jam 11.00 pagi.
Calon PN, Dato’ Ahmad Yahaya tiba ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Pokok Sena pada jam 8.49 pagi diikuti Warisan (8.51 pagi), PH (9.04 pagi) dan BN ( 9.09 pagi).
Ahmad dan para penyokong berarak ke pusat penamaan calon seawal 8.00 pagi selepas berhimpun di markas Unit Peti Undi (UDM) Kolon.
Beliau ketika ditemui mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana proses penamaan calon berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“Alhamdulillah semua berjalan dengan baik dan lancar. Cuaca pun baik. Terima kasih juga kepada para penyokong yang bersama sejak awal pagi dan ini memperlihatkan kesungguhan bekerja memenangkan calon PN,” kata beliau.
Berhubung pertandingan empat penjuru di parlimen terbabit, menurutnya, hal itu tidak dapat dielak seperti berlaku perpecahan undi, persaingan dan sebagainya.
Malah baginya merupakan perkara biasa dalam adat bertanding.
“Walau bagaimanapun, PN menawarkan yang terbaik untuk Parlimen Pokok Sena dan mengharapkan undi diberi kepada PN,” tambah beliau lagi.
Pada PRU14 lalu, Parlimen Pokok Sena dimenangi calon PH, Dato’ Mahfuz Omar dengan majoriti 5,558 undi.