KOTA BHARU | Polis menasihatkan penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang hadir pada proses penamaan calon supaya menurunkan dron dan berhenti bermain alat muzik.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dua kesalahan itu dikesan masing-masing satu cuba menerbangkan dron di Rantau Panjang dan bermain alat muzik di Kuala Krai.
Katanya, individu yang cuba menaikkan dron diminta menurunkan dron kerana menjadi kesalahan kerana tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
“Beberapa individu yang dikesan bermain alat muzik, polis menasihatkan mereka berhenti berbuat demikian kerana boleh mengganggu kententeraman awam.
“Pada PRU15 ini, seramai 2,301 pegawai dan anggota polis termasuk daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan unit udara yang bertugas untuk memantau dan membuat kawalan di semua pusat penamaan calon di 14 Parlimen hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penamaan calon Parlimen di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, kemungkinan penyokong berkenaan tidak tahu peraturan yang ditetapkan dan polis memberi nasihat.