ARAU | Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) ditentang Sharipudin Ahmad dari Barisan Nasional (BN), Zainudin Yom (Warisan) dan Fadzil Mohamad (Pakatan Harapan).
Begitu juga di Dun Guar Sanji penyandangnya Mohd Ridzuan Hashim dari PN bertemu Abdul Malik Abdullah (Pejuang), Hasparizal Hassan (PH) dan Rozieana Ahmad (BN).
Manakala kerusi panas Parlimen Arau menyaksikan pertandingan tiga penjuru selepas calon dari Pejuang, Abdul Razak Abdul Khalek tidak hadir sehingga tamat tempoh penamaan calon.
Penyandang Parlimen tersebut, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim mewakili PN berhadapan dua pencabarnya iaitu Dato’ Rozabil Abdul Rahman (BN) dan Fathin Amelina Fazlie (PH).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau, Abdul Malek Hassan mengumumkan kesemua calon layak bertanding di pusat penamaan calon di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin hari ini.
Kerusi Dun Simpang Empat pula menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan lima wakil parti dan seorang calon bebas.
Penyandang kerusi Dun Simpang Empat Nurulhisham Yaakob dari BN ditentang Razali Saad (PN), Amran Darus (PH), Wan Noralhakim Shaghir Saad (Warisan), Izhar Kamarudin Sudin (Pejuang) dan Ammar Hassan (Bebas).
Kehadiran Shahidan bersama lima lagi calon PN yang bertanding di Dun Pauh, Guar Sanji, Tambung Tulang, Simpang Empat dan Sanglang sekitar jam 8.30 pagi.
Proses penamaan calon berlangsung selama sejam bermula jam 9 hingga 10 pagi diikuti tempoh proses bantahan selama sejam sebelum dimuktamadkan sekitar jam 11 pagi.
Seramai 33 orang calon diumumkan bertanding di Dun masing-masing oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya sekitar jam 11.40 pagi dan tamat jam 12.15 tengah hari.
Parlimen Arau terdapat empat DUN iaitu Pauh, Tambung Tulang, Guar Sanji dan Sanglang berlaku pertandingan empat penjuru, manakala Simpang Empat enam penjuru.