KOTA BHARU | Tahap keselamatan bagi negeri Kelantan adalah dalam suasana aman dan terkawal dalam tempoh kempen ini.
Jurucakap media Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, sepanjang tempoh berkempen ini, sebanyak 33 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan ditempatkan di semua daerah.
Katanya, pasukan berkenaan ditempatkan bagi memantau aktiviti politik sepanjang tempoh berkempen.
“Proses kempen pilihan raya berjalan dengan lancar dan semua calon parti yang bertanding mematuhi peraturan berkempen di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak enam aktiviti ceramah telah dicatatkan dan kesemua aktiviti ceramah tersebut mematuhi peraturan Akta Pilihanraya dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini dilaporkan berlaku sepanjang tempoh tersebut.
“Polis Kelantan menasihatkan supaya semua parti yang bertanding, kumpulan penyokong dan orang ramai yang terlibat mengikuti segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan agar tempoh berkempen ini berjalan dalam suasana aman dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.