KOTA BHARU | Pembinaan Loji Penapisan Minyak di Narathiwat adalah bukti Kelantan disisihkan dan dianaktiri oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kerajaan negeri tidak menerima sebarang bayaran royalti daripada Petronas.
Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata memandangkan hasil petroleum yang diambil loji berkenaan berada di kawasan Kelantan, sepatutnya ia dibina di kawasan Tumpat, namun dialih Petronas.
Katanya, pembinaan loji di wilayah itu menyebabkan Petronas perlu membayar 100 bilion Bath atau RM12 bilion setahun, sedangkan sumber ekonomi itu boleh diberikan kepada Kelantan untuk kemajuan dan pembangunan.
“Dalam tempoh 30 tahun PAS memerintah Kelantan, sesungguhnya negeri ini terus dianaktirikan kerajaan BN menyebabkan Kelantan terus terbelakang dan menjadi negeri termiskin.
“Bayangkan limpahan ekonomi akan dicapai di Kelantan jika Loji Penapisan Minyak dibina di negeri ini. Namun, disebabkan Kelantan diperintah kerajaan PAS, kita tidak peroleh apa-apa termasuk royalti.
“Ini adalah satu ketidakadilan dan saya seru rakyat Kelantan pilih Perikatan Nasional (PN) kerana kita akan menjadi satu pasukan antara kerajaan negeri dan Pusat, sekali gus negeri ini tidak akan sesekali dianaktirikan lagi,” katanya pada Ceramah Kelompok di Bilik Gerakan Utama PN Kota Bharu, di sini, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan PN berjanji akan membayar royalti minyak kepada Kelantan sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata segala yang menjadi hak kerajaan Kelantan akan dibayar sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Mohamed Farid yang juga Ahli Majlis Pimpinan BERSATU, berkata tiada cara lain lagi melainkan kerajaan negeri perlu bersama dengan kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah ekonomi termasul pembayaran royalti.
Beliau hairan dengan pembinaan Loji Penapisan Minyak di Narathiwat sedangkan petroleum diambil di kawasan perairan Kelantan.
“Jika pembinaan dilakukan di Kelantan, negeri ini tidak akan menjadi negeri termiskin dan terkebelakang berbanding negeri lain. Semestinya banyak peluang pekerjaan, pembinaan pelbagai industri atau kilang serta pembangunan dapat diwujudkan daripada hasil pembinaan loji berkenaan.
“Jadi, sudah tiba masanya kita mengubah nasib Kelantan dengan memberi peluang kepada PN mentadbir negara dengan bersih dan stabil,” katanya.