KOTA BHARU | Bukit Aman akan memberi bantuan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan dengan menghantar seramai 1,120 pegawai dan anggota bagi persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bantuan dari Bukit Aman akan diterima pada 17 November ini.
Katanya, tambahan itu akan menjadikan anggota keseluruhan polis melebihi 5,000 orang bagi bertugas untuk memantau dan membantu proses pengundian PRU15 pada 19 November.
“Mereka akan ditempatkan di semua saluran peti undi di 14 Parlimen bagi membantu kelancaran proses undi.
“Keanggotaan akan diletakkan mengikut keperluan saluran peti undi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis diletakkan bagi memastikan kelancaran proses mengundi.
Katanya, selain itu, pihak polis akan turut dibantu oleh 1,570 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang akan menjaga kawasan parkir.
“Kemungkinan akan berlaku kesesakan di kawasan parkir pada pilihan raya ini, namun dengan bantuan pihak RELA ia akan melancarkan proses berkenaan,” katanya.