KOTA BHARU | Peniaga di Bazar Tok Guru di sini, berharap kerajaan membantu mereka dengan membuat promosi lokasi itu bagi menarik pengunjung.
Ini berikutan jualan mereka berkurangan sebanyak 30 peratus sejak setahun lalu selepas pandemik COVID-19.
Peniaga batik, Awatif Azman, 25, berkata, jualan batik jatuh lebih kurang 30 peratus kerana kurang pembeli.
Katanya, ia disebabkan oleh faktor ekonomi yang kurang stabil dan kemungkinan orang ramai memilih untuk membeli barangan keperluan terlebih dahulu.
“Jika dahulu jualan batik ini menguntungkan, namun kini ia hanya boleh membayar kos bahan mentah, pekerja membuat batik dan sewa kedai.
“Walaupun kurang untung, namun saya meneruskan perniagaan ini kerana ia adalah punca rezeki buat saya sekeluarga sejak dahulu lagi,” katanya.
Peniaga baju, Leng May Jume, 59, berharap lebih banyak promosi diberikan kepada bazar berkenaan untuk menarik pelancong datang ke lokasi itu.
“Jika cuti sekolah atau cuti umum, kebanyakan yang datang adalah orang tempatan dan mereka kurang membeli berbanding pelancong yang suka memborong.
“Saya berharap supaya bazar ini terus dikenali dan berharap kerajaan mengambil langkah untuk terus mempromosi lokasi itu,” katanya.