TANAH MERAH | Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz adalah mahu membina rumah bagi penduduk daerah itu yang tidak mempunyai kediaman menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR).
Menurutnya, ramai penduduk di daerah itu amnya dan khususnya di Kelantan memerlukan rumah.
Katanya, rakyat memerlukan rumah dan antara projek perumahan yang ingin beliau usulkan adalah projek PPR.
“Kini sudah ada 400 unit rumah PPPR di Gual Ipoh. Namun, masih ramai lagi yang memerlukan rumah. Jadi tempoh hari (kerajaan) telah meluluskan antara 800 hingga 1,000 unit rumah PPR untuk dibangunkan, tetapi disebabkan isu masalah tanah, kelulusan itu ditarik balik.
“Itulah perjuangan saya yang akan datang. Apabila hubungan Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri mempunyai hubungan dan di bawah kompenan yang sama, ini memudahkan saya dan isu masalah tanah akan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas program bersama penduduk di Persatuan Kebajikan Pengurusan Kafa (PERKAFA) Kampung Paloh di sini.