TUMPAT | Memelihara kebajikan rakyat antara perkara utama yang akan diberi perhatian oleh calon PAS Parlimen Tumpat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Datuk Mumtaz Md Nawi, berkata Tumpat memiliki potensi besar untuk lebih dimajukan kerana mempunyai banyak sumber alam dengan faktor geografi yang bersempadan dengan negara jiran, sekali gus dapat meningkatkan ekonomi rakyat.
“Jika diberi mandat, yang pertama saya ingin melihat kebajikan rakyat terus terpelihara kerana di sini, penduduknya ramai dan ia menjadi aset besar dalam ekonomi.
“Antara kerjaya utama mereka adalah nelayan dan kita akan mengembangkan potensi nelayan kepada industri pelancongan.
“Sebaik mencapai kemenangan pada PRU15 nanti, dengan kerjasama kerajaan Pusat dan negeri, saya ingin semua kluster dalam Tumpat diberi perhatian untuk meningkatkan ekonomi mereka dari sudut pendapatan kerana di sini sumber alamnya tinggi dengan dianugerahkan laut, sungai dan perkampungan pulau serta kewujudan kawasan bebas cukai di Pengkalan Kubor yang menjadi satu pemangkin kepada ekonomi rakyat setempat,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri itu juga berkata, beberapa projek yang diumumkan dan sedang dalam pembinaan untuk daerah ini dilihat sangat memberi manfaat kepada 178,000 penduduk Tumpat.
Katanya, apabila siap pembinaan Jambatan Palekbang yang menghubungkan dari Kota Bharu ke Palekbang, maka pertumbuhan empat kawasan pembangunan wilayah yang baharu iaitu Bandar Pentadbiran Tumpat Perdana, Bandar Komersial Palekbang Jaya, Bandar Wakaf Baru Delima dan Bandar Baru Pengkalan Kubor bergerak serentak selari dengan semua prasarana yang disediakan, Tumpat sudah bersedia untuk menjadi bandar maju.
“Dari segi pembangunan, beberapa projek diumumkan kerajaan sebelum ini banyak dan ia penting untuk memastikan prasarana itu sepadan dengan penerimaan rakyat,” katanya.
Mengenai penerimaan rakyat Tumpat atas kehadirannya sebagai calon Parlimen yang dianggap ‘orang baharu’ di sini, anak kelahiran Kampung Ana, Tumpat itu berkata, setakat hampir seminggu turun berkempen, beliau terharu dengan penerimaan dan sambutan rakyat yang dilihat mengalu-alukan kedatangannya.
Menggunakan pendekatan mengukuhkan ukhuwah dan mengelakkan pergaduhan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Kota Bharu itu juga mengharapkan strategi berkenaan mampu menjadi senjata untuk menzahirkan ‘kemenangan bergaya’ buat PAS di Parlimen Tumpat pada 19 November nanti.
“Strategi kita tak pernah mengambil pendekatan bergaduh dengan sesiapa sebaliknya perkhidmatan kita adalah penyatuan dan guna ukhuwah melalui ziarah dan dakwah.
“Yang saya amalkan selama ini adalah budaya politik matang serta sejahtera dan Alhamdulillah ia mendapat impak positif sebab rakyat tidak inginkan suasana kacau bilau.
“Dalam PAS, siasah adalah sebahagian daripada dakwah dan kita bergerak serentak iaitu dakwah dan juga tarbiah, jadi inilah masanya kita memberi semua itu melalui ceramah dan pendekatan ziarah yang dibuat.
“Kita harapkan skuad daripada semua pihak akan berikan kemenangan yang bergaya untuk PRU kali ini,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN