KOTA BHARU | Tindakan sekumpulan lelaki yang memukul seorang penghulu Mukim Kenali, Kubang Kerian membawa padah apabila lima daripada mereka ditahan polis semalam.
Lelaki berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan 5 pagi semalam selepas mangsa yang berusia 55 tahun membuat laporan polis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lima lelaki ditahan susulan kes memukul seorang penghulu kerana tidak berpuas hati dengan rakaman video yang diambil mangsa.
Katanya, sebelum itu, ketika mangsa berada di
bilik gerakan pusat mengundi di hadapan kedai runcit Jalan Pasir Puteh- Kubang Kerian di Mulong, pada jam 12.30 tengah malam semalam, sekumpulan lelaki memegang bendera dan pada masa yang sama mangsa membuat rakaman video dengan menggunakan telefon bimbit.
“Kerana tidak berpuas hati dengan rakaman video itu, sekumpulan lelaki turun dan berlaku perang mulut sebelum mangsa dipukul.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian mata dan sakit belakang sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan lima lelaki itu direman selama dua hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes.