KUALA LUMPUR | Seramai 80,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga mengawasi proses pembuangan undi esok, selain semua elemennya turut digerakkan sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Langkah itu adalah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terjamin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata orang ramai tidak perlu bimbang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“PDRM memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengancam ketenteraman awam terutamanya yang boleh menjejaskan proses pembuangan undi.
“Bagi memastikan kelancaran aliran trafik, PDRM telah melaksanakan Op Lancar dengan tumpuan kepada lokasi-lokasi strategik yang kerap berlaku kesesakan lalu-lintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Acryl berkata, semua pihak diingatkan untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan di tempat terbuka atau perarakan bagi meraikan kemenangan.
“Setelah PRU-15 berakhir PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar demi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat,” katanya.- SUMBER: BERITA HARIAN