KUANTAN | Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon baharu bagi mewakili gabungan itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, secepat mungkin, berikutan kematian Md Yunus Ramli, awal pagi tadi.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata kepemimpinan tertinggi PN Pusat sudah dimaklumkan mengenai pemergian Md Yunus.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham sepatutnya menghadapi saingan lima penjuru yang turut membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain (UMNO), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH-AMANAH), Osman A Bakar (PEJUANG) serta Sulaiman Bakar (Bebas).
“Kita akan mencari calon baharu sebagai ganti. Kerusi terbabit adalah kuota PAS. Justeru, PAS akan memilih calon daripada parti mereka.
“Pemilihan calon baharu itu akan dibuat secepat mungkin tetapi bukan hari ini kerana semua sibuk dengan proses pengundian,” katanya kepada media selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, di sini, hari ini.
Pengundian bagi kerusi DUN Tioman pada PRU15, hari ini, ditangguhkan berikutan kematian Md Yunus, 61, kira-kira jam 3.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
Md Yunus dikejarkan ke hospital oleh ahli keluarganya dipercayai selepas mengalami serangan jantung.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Md Yunus merupakan calon berpotensi dan pemergiannya adalah satu kehilangan serta amat mengejutkan.