KUALA LUMPUR | Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa parti itu sudah mendahului di 22 kerusi Parlimen ketika ini.
Beliau yang juga calon kerusi Parlimen Pandan memuat naik ciapan itu melalui Twitter, turut menyatakan berdasarkan pungutan melalui aplikasi CISTA, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing mendahului dengan tujuh kerusi.
“Keputusan terkini dari kerusi-kerusi PKR (melalui CISTA), PKR mendahului di 22 kerusi, BN mendahului di tujuh kerusi (dan) Perikatan Nasional (PN) mendahului di tujuh kerusi,” katanya.
Setakat jam 9 malam tadi, Rafizi mendahului dengan 10,844 undi, diikuti Muhammad Farique Zubir Albakri (PN) sebanyak 3,070 undi.
Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee daripada BN mendapat 1,609 undi; calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Tan Sri Ong Tee Keat (845 undi), manakala 114 undi diraih Nadia Hanafiah (Gerakan Tanah Air).- SUMBER: BERITA HARIAN